Rombakan tidak akan aniaya mana-mana pihak – MB Terengganu

0
167

KUALA TERENGGANU: Rombakan yang mungkin dilakukan untuk penambahbaikan dalam pentadbiran agensi kerajaan negeri ini, tidak akan menganiayai mana-mana pihak, kata Menteri Besar, Prof Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Katanya, perkara itu akan diteliti apabila beliau bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) memulakan tugas pada Isnin ini.

“Apabila ada penambahbaikan, mungkin ada beberapa rombakan diperlukan tetapi kita tidak akan menganiayai mana-mana pihak,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang, berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Perisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan EXCO Kerajaan Negeri Terengganu di Istana Syarqiyyah, di sini, malam tadi.

Selain itu, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya juga akan berbincang dan melihat sebarang keperluan untuk menambah portfolio EXCO yang baharu, selain perancangan melaksanakan manifesto dijanjikan kepada rakyat.

“Insya-Allah, minggu depan akan ada mesyuarat EXCO yang pertama.

“Masyarakat bukan Islam tidak perlu risau walaupun tiada wakil di DUN kerana kita akan cuba mencari jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan semua rakyat negeri ini mendapat manfaat sama dan tidak terpinggir.

“Kita akan berbincang, mengadakan pertemuan dan membuat penambahbaikan, termasuk melantik kaum tertentu sebagai wakil mereka dalam DUN sekiranya perlu demi kesejahteraan semua,” katanya.

Sementara itu, beliau turut berterima kasih atas pandangan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang berharap kepemimpinan baharu kerajaan Terengganu tidak meminggirkan bidang pelancongan.

Beliau berkata, pihaknya memberi jaminan tidak akan meminggirkan bidang pelancongan yang memberi sumbangan besar kepada ekonomi negeri ini.

“Bukan hanya pelancongan, malah bidang pelaburan, industri desa, kampung dan perikanan akan dibangunkan demi kesejahteraan rakyat negeri ini,” katanya. – BH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here