PRU14: UMNO Terengganu siap sedia 100 peratus

0
288
UMNO Terengganu yakin dapat memenangi PRU14 dengan majoriti lebih dua pertiga. Foto: Hasmizi Hamid

MARANG – Jentera UMNO Terengganu di semua peringkat sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk ‘berperang’ dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pihaknya kini hanya menunggu masa sebelum parlimen dibubarkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak.

“Kita sudah bersedia 100 peratus dan hanya menunggu isyarat daripada Perdana Menteri. Dengan sokongan rakyat yang semakin bertambah kita berkeyakinan penuh pada PRU kali ini akan memihak kepada kita dan kita sasarkan untuk mendapat lebih dua pertiga majoriti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutup Program 2P : Pemantapan dan Pengukuhan Wanita UMNO Negeri Terengganu 2018 di Auditorium Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Wakaf Tapai di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Marang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, A.Latiff Awang; Pengarah Komunikasi Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam dan Naib Ketua Wanita, Datuk Rohani Abdullah.

Mengulas mengenai calon PRU, Ahmad Razif berkata, senarainya telah dimuktamadkan di peringkat negeri dan sudah dihantar kepada Dato’ Seri Najib untuk kelulusan.

“Semua senarai calon sudah dihantar kepada YAB Presiden dan ia terpulang kepada beliau sama ada mengumumkannya lebih awal ataupun tidak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here