Pemilihan calon PRU14 dibuat dengan penuh ketelitian – Hishammuddin Hussein

0
244

Barisan Nasional (BN) membuat pemilihan calon yang paling teliti dalam sejarah Pilihan Raya Umum (PRU) dalam persediaan menghadapi PRU14.

Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tujuan utama ia dilakukan adalah untuk memastikan calon diterima ramai pihak sekali gus membantu BN menang dengan lebih bergaya dalam pilihan raya kelak.

Tambahnya, pemilihan dibuat berdasarkan kemampuan dan keupayaan calon di peringkat bahagian yang ditentukan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Tetapi apa yang saya nak beritahu, saya tak pernah tengok persiapan yang begini teliti, sama ada dalam konteks calon, sentimen di peringkat bahagian dan penerimaan rakyat kepada calon kita”.

“Saya juga terlibat secara langsung, dan berdasarkan persiapan hari ini saya harap (usaha itu) dihargai oleh semua pemimpin di peringkat Parlimen, DUN dan juga bahagian-bahagian’.

“Kita berharap apabila diumumkan nanti, sokonglah calon berkenaan sebagaimana ikrar kita termasuk tidak sabotaj calon bagi memastikan kemenangan BN,” katanya Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Gerak Gempur Tawan Parlimen Dungun di Kampung Seberang Pintasan yang dihadiri lebih 10,000 ahli serta penyokong BN.

Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd. Zubir Embong; Ketua UMNO Bahagian Dungun, Dato’ Din Adam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Roslee Daud serta barisan kepemimpinan UMNO negeri.

Beliau mahu semua ahli parti menerima dengan pemilihan calon BN selepas pucuk kepimpinan meneliti semua aspek sebelum membuat keputusan.

“Percayalah kita dah ambil kira semua pertimbangan dan ini bukan satu perkara yang mudah. Tapi perjuangan daripada ikrar tadi lebih penting agar kita sedar siapa saja yang dicalonkan,  akan kerja bersungguh-sungguh untuk memenangkan parti,” katanya.

Dalam majlis itu Pengarah Jentera Pilihan Raya Dungun, Datuk Mohd. Ariffin @ Zakaria Abdullah mengetuai bacaan ikrar yang berkisar tentang kesetiaan terhadap pemimpin dan parti serta kesediaan akur pemilihan calon di samping mengetepikan unsure sabotaj ketika PRU14.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here