Pelajar cemerlang 2017 terima insentif kerajaan negeri

0
223
Pelajar Muhammad Syauqellah Razali terima Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu yang disampaikan oleh Menteri Besar Dato Seri Ahmad Razif Abd Rahman dalam satu majlis di Wisma Darul Iman hari ini. – Gambar Takir Ibrahim

Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Yayasan Terengganu (YT) membelanjakan sebanyak RM358,300 untuk Anugerah Pingat Emas dan Anugerah Kecemerlangan kepada 499 pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Agama Malaysia (STAM) 2017 dalam satu majlis yang diadakan di Wisma Darul Iman hari ini.

Anugerah ini adalah inisiatif kerajaan negeri yang bertujuan menghargai dan mengiktiraf kecemerlangan pelajar dalam bidang akademik dengan harapan ia dapat menjadi motivasi untuk terus meraih pencapaian cemerlang sekaligus mengangkat nama negeri Terengganu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Dua pelajar telah terpilih sebagai penerima Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu iaitu Muhammad Khairul Azri Mohd Khalid daripada Sekolah Menengah Imtiaz YT Besut dan Muhammad Syauqellah Razali daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek.

Kedua-duanya yang merupakan pelajar terbaik negeri ini insentif wang tunai RM5,000, sebuah medal pingat emas, sehelai blazer, sebuah laptop dan sijil penghargaan.

Sementara itu seorang pelajar menerima Anugerah Khas YT iaitu pelajar kelainan upaya Ahmad Izzat Sohame@Suhaimi daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Telemong yang menerima wang tunai RM2,000 beserta sebuah laptop.

Hadiah disampaikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang turut dihadiri oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Dato Mohd Zubir Embong, EXCO Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri A Latiff Awang, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail, Pengarah Yayasan Terengganu Ishamudin Hashim dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Shafruddin Ali Hussin.

Muhammad Khairul Azri Mohd Khalid terima Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2017
Pelajar cemerlang SPM 2017 Ahmad Izzat Sohame@Suhaimi terima Anugerah Khas YT.

Antara anugerah lain yang turut diberikan adalah Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2017 (Semua A+) kepada dua penerima yang mendapat RM500 dan laptop, Anugerah Pelajar Terbaik STAM 2017 kepada dua penerima yang memperoleh RM600 serta laptop dan Anugerah Kecemerlangan SPM 2017 (Semua A) kepada 357 penerima yang mendapat RM500 setiap seorang.

Selain itu tiga lagi kategori penghargaan juga diberikan iaitu Anugerah Kecemerlangan STPM 2017 2017 (Semua A) kepada 100 orang yang mendapat RM600 setiap seorang, Anugerah Kecemerlangan STAM 2017 (Mumtaz) kepada 26 orang yang meraih RM600 setiap seorang dan Anugerah Sekolah Terbaik kepada sembilan sekolah yang masing-masing menerima RM10,000.

Sejak tahun 1980 Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM18,581,195 kepada 121,161 pelajar cemerlang dalam Anugerah Pingat Emas dan Hadiah Kecemerlangan Terengganu. – sumber Terengganu.news

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here