#PAU2017 : Jangan sibuk tangkis tomahan pembangkang, lupa cerita kejayaan kerajaan BN – KP Puteri

0
126

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Anggota UMNO diingatkan supaya tidak alpa sehingga terlupa untuk menceritakan kejayaan yang dicapai kerajaan dalam kesibukan menangkis tohmahan pembangkang, bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsuddin berkata adalah penting untuk anggota UMNO menguar-uarkan kejayaan kerajaan masa kini terutamanya berkaitan ‘Najibnomics’ dan juga ‘Najibplomatik’ yang dinikmati rakyat negara ini.

‘Najibnomics’ adalah pendekatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO dalam menangani masalah ekonomi yang membawa perubahan dan kejayaan besar kepada negara walaupun ekonomi dunia dilanda pelbagai masalah, manakala ‘Najibplomatik’ merupakan suatu prinsip berkecuali yang menekankan hubungan seimbang antara dua negara.

“Kerja keras yang perlu digandakan oleh ahli UMNO pada hari ini ialah memberi penjelasan kepada rakyat. Sebagai anggota UMNO dan pendukung BN jangan sekali-kali cuai dan leka dalam menerima pelbagai tohmahan dan ‘fake news’ ciptaan pihak pembangkang,” katanya semasa menggulung perbahasan Perhimpunan Agung UMNO 2017, di sini hari ini.

Mas Ermieyati berkata melalui ‘Najibplomatik’, kesan positif dasar antarabangsa Presiden UMNO itu dapat dilihat apabila negara membuat pilihan untuk kekal berkecuali dan berkawan dengan semua pihak.

“Najibplomatik bukan sahaja mampu mewujudkan suatu persekitaran politik yang aman pada peringkat serantau tetapi turut memberikan kesan yang baik terhadap ekonomi negara kita.

“Ketegasan yang yang ditunjukkan oleh Presiden dalam isu terkini di Baitulmuqaddis, jelas ‘Najibplomatik’ juga didasari oleh prinsip-prinsip kemanusiaan sejagat… inilah manifestasi politik wasatiah yang menekankan kesederhanaan dan keseimbangan,” katanya.

Mas Ermieyati berkata sejak membentuk kerajaan persekutuan, UMNO bukan sahaja memayungi dan membela nasib orang-orang Melayu tetapi turut menjadi tempat berteduh pelbagai kaum di Malaysia berpaksikan mentaliti Negaraku sehingga saat ini.

Justeru, katanya Puteri UMNO bertekad untuk terus menyantuni pengundi muda wanita berumur 40 tahun ke bawah terutama pengundi kali pertama dengan menggerakkan lebih 65,000 petugas jentera pilihan raya bagi memastikan BN terus memerintah negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here