#PAU2017: Air mata perjuangan UMNO

0
124

Kuala Lumpur – PERHIMPUNAN Agung UMNO ke 71 (PAU) yang baru berakhir sebentar tadi membekalkan “azimat” kepada para perwakilan untuk dibawa ke kawasan masing-masing. Dalam hati sanubari perwakilan semarak dengan api perjuangan kental.

Api perjuangan tersebut seiring dengan airmata perjuangan para perwakilan ketika alunan lagu “Anak Kecil Main Api’ berkumandang sehingga mereka menitiskan airmata perjuangan dengan sejuta tekad tersemat di dada.

Presiden UMNO Dato Seri Najib Tun Abdul Razak mahu pertelingkahan dalaman parti diselesaikan atas semangat kekeluargaan.

Katanya, UMNO dan Barisan Nasional(BN) mempunyai agenda yang lengkap untuk kesejahteraan rakyat. Oleh itu, kini para perwakilan perlu menyampaikan fakta tersebut kepada pengundi di kawasan masing-masing.

Beliau dengan penuh ikhlas mengucapkan penghargaan kepada perwakilan kerana sebulat suara menyokong usul jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO tidak dipertandingkan.

Beliau turut mempersoalkan cadangan pembangkang untuk menjadikan Lim Kit Siang sebagai Perdana Menteri.

Menurut beliau, tidak logik untuk meletakkan masa depan negara di tangan individu yang berumur 93 tahun.

“Kita sudah berjaya besar dalam perjuangan, kita sudah capai begitu banyak kejayaan.

“Namun sebelum itu, kita perlu lalui Pilihan Raya Umum ke-14, pokok pangkalnya siapa yang akan pimpin.

“Ada dengar-dengar orang 93 tahun nak jadi perdana menteri balik. Takkan nak letak masa depan negara pada orang tua?” soal Datuk Seri Najib ketika sesi penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO 2017.

Sebelum itu Najib berkata, beliau akan menghadiri sidang kemuncak luar biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dijadual berlangsung di Istanbul, minggu depan (13 disember).

Beliau yang sepatutnya mengadakan sesi pemukiman tahunan bersama Presiden Singapura, Lee Hsien Loong, telah ditangguhkan kerana memberi penekanan kepada isu yang memberi kesan kepada kepercayaan beliau.

Katanya, UMNO dan umat Islam akan menentang habis-habisan tindakan Amerika Syarikat mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Dalam ucapan penggulungannya sebagai Presiden UMNO, beliau memberi penghargaan kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang disifatkan beliau sebagai seorang sahabat lama yang akrab dan setia.

Beliau mengakui berpuas hati mempunyai timbalan yang tidak lupa mempertahankannya ‘di saat susah’ sebagaimana beliau menunjukkan prinsip ‘susah senang bersama’ ketika sahabatnya itu menghadapi detik sukar sebagai Ketua Pemuda UMNO Bagan Datok pada 1988.

Menurutnya, Zahid yang ditekan dengan begitu dahsyat oleh pimpinan bahagian ketika itu meminta bantuannya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO merasmikan Persidangan Pemuda Bahagian Bagan Datuk dan beliau tanpa mempedulikan tekanan telah membantu sahabatnya itu.

Zahid, menurut Najib, mengingatkannya kepada lagu Datuk D J Dave yang antara liriknya berbunyi:

Sukarnya mencari
Kawan yang setia
Yang sanggup menolong
Di masa kau susah

Kawan waktu senang
Tak payah kau cari-cari
Di mana saja
Mudah kau jumpa

Selain daripada itu juga, Datuk Seri Najib menegaskan pemilihan calon pada pilihan raya akan datang bukan mengikut hati, tetapi sebaliknya adalah mengikut kehendak parti.

Presiden UMNO itu berkata, walaupun beliau suka seseorang calon, tetapi jika mengikut parti ia tidak sesuai, maka semua pihak perlu akur dengan keputusan tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here