Padang Setengge : Adun Kuala Berang Selesai Masalah perumahan

0
97

Sudah menjadi kebiasaan bagi mana-mana parti politik dipalitkan dengan pelbagai isu dan skandal di kawasan tertentu dalam menghadapi musim pilihanraya. Antaranya bertujuan mencacatkan nama bagi memberi kelebihan kepada parti lawan sehingga adakalanya mengundang fitnah. Tidak kurang juga yang bertujuan memberi kesedaran kepada umum akan natijah jika memilih parti yang salah.

Seperti isu yang digembar-gemburkan mengenai Perumahan Padang Setengge Fasa 4 menyaksikan kegagalan kontraktor bertanggungjawab, SePurnama Development Sdn Bhd; untuk menyiapkan lebih 100 unit rumah berkembar di sempadan Kuala Berang-Telemong yang berlarutan hingga bertahun lamanya.

Dalam temuramah bersama Dato’ Tengku Putera Tengku Awang sebagai wakil rakyat di DUN Kuala Berang mengenai isu ini, selain memberikan penjelasan; beliau juga banyak berusaha bagi membolehkan pembeli-pembeli yang tertindas dari tindakan kontraktor tidak bertanggungjawab agar mendapat pembelaan yang sewajarnya. Tegasnya, tuduhan yang dilemparkan ke atas beliau yang kononnya memandang remeh isu ini adalah tidak benar.

Tengku Putera dalam lawatan kerjanya ke Padang Setengge telahpun memberikan gambaran yang jelas di mana projek perumahan di kawasan itu bermula dari Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 telahpun siap dan didiami penduduk.

Fasa 1 disiapkan sepenuhnya oleh kerajaan manakala SePurnama Development merupakan kontraktor yang bertanggungjawab menyiapkan Fasa 2, 3, dan 4 sejak pemerintahan PAS di Terengganu pada tahun 2000.

Antara Fasa Perumahan yang telah siap dan didiami penduduk

Isu mula timbul apabila terdapatnya masalah pembayaran oleh SePurnama Development Sdn Bhd kepada sub-kontraktor yang dilantik untuk menyiapkan Fasa 4; di mana sub-kontraktor mendakwa SePurnama sebagai kontraktor utama gagal membuat pembayaran dan melunaskan hutang kepadanya sehingga menyebabkan proses pembinaan terhenti.

Sebanyak lebih 100 unit rumah di Fasa 4 selepas itu ditinggalkan terbengkalai oleh sub-kontraktor dalam keadaan 75 hingga 80 peratus siap kerana kegagalan SePurnama sebagai kontraktor utama projek tersebut melunaskan hutang kepada sub-kontraktor yang telah melaburkan sebahagian besar modal untuk menyiapkan projek perumahan tersebut.

Akibat dari itu, berlakulah saman-menyaman di antara sub-kontraktor dan kontraktor utama sehingga mahkamah memutuskan kontrak kepada SePurnama batal dan syarikat tersebut diisytihar muflis oleh insolvensi.

Keadaan ini telah meninggalkan pembeli dan sub-kontraktor dalam status mangsa keadaan.

Sebagai wakil rakyat, timbul rasa tangggungjawab pada Tengku Putera untuk membela permasalahan yang dihadapi oleh pembeli walaupun isu tersebut sudah lama berlarutan. Pelbagai rundingan telah dibuat supaya pembeli mendapat pembelaan sewajarnya menemui jalan buntu sehinggalah pihak kerajaan melalui Lembaga Tabung Warisan melantik kontraktor baharu untuk menyiapkan projek perumahan tersebut.

Memandangkan prosiding mahkamah masih berjalan, beberapa perkara teknikal telah menyekat projek tersebut dari diteruskan. Antaranya melibatkan sijil kediaman dan kelulusan meneruskan projek dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga menunggu keputusan daripada prosiding mahkamah.

Umum sedia maklum bahawa perkara yang melibatkan mahkamah sudah pastinya di luar kemampuan sesiapa sahaja dan wakil rakyat juga tidak terkecuali. Namun, segala usaha untuk memastikan keselesaan rakyat telahpun dilakukan dengan bersungguh-sungguh oleh Dato’ Tengku Putera di Kuala Berang sepanjang beliau memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat bagi DUN Kuala Berang. Wajarkah kesalahan ini diletakkan di bahunya bilamana kegagalan tersebut adalah berpunca dari pihak kontraktor utama yang tidak bertanggungjawab?

Saban tahun pembangunan demi pembangunan dapat dilihat mewarnai Hulu Terengganu dan pekan Kuala Berang khususnya. Malah pekan Kuala Berang yang pernah bergelar ‘Bandar Mati’ suatu masa dahulu, jauh berbeza hidupnya pada hari ini. Rakyat di Hulu Terengganu yang biasanya tertumpu ke pekan Kuala Berang pastinya dapat merasai arus perubahan yang telah diusahakan sehingga ke hari ini dan seharusnya bersyukur dalam menikmati pembangunan dan kemajuan dalam sebuah bandar yang berpusat di Hulu Terengganu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here