Ahmad Razif hadir serahkan tugas kepada pengganti

0
140

Peralihan kuasa di negeri ini turut berlaku dalam keadaan mengejut namun cukup jauh berbeza dengan beberapa negeri lain apabila proses itu berjalan tenang dan lancar, malah disempurnakan dengan tertib melalui upacara penyerahan tugas kepemimpinan negeri hari ini.

Upacara itu awalnya dijadualkan semalam namun bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman terpaksa berada di Kuala Lumpur kerana mesyuarat kepemimpinan UMNO di ibu negara, dan berkesempatan hadir di Wisma Darul Iman di sini petang ini.

Dalam suasana santai, Ahmad Razif bersama penggantinya, Dr. Samsuri Mokhtar berbual tentang perkembangan negeri kira-kira 15 minit sebelum upacara menandatangani dokumen penyerahan tugas yang turut disaksikan oleh Pemangku Setiausaha Kerajaan negeri , Datuk A Rahman Yahya dan barisan anggota Exco kerajaan negeri.

Ahmad Samsuri berkata, kehadiran Ahmad Razif merupakan satu permulaan baharu yang baik ke arah kerjasama, bukan sahaja dengan UMNO tetapi juga dengan mana-mana untuk membantu membangunkan negeri dan rakyat.

“Kehadiran Datuk Seri Ahmad Razif hari ini adalah detik bersejarah untuk negeri. Saya amat menghargai kedatangan beliau,” katanya yang menyifatkan Ahmad Razif sebagai pemimpin berjiwa besar.

Katanya, sikap dan pendirian kerajaan Pas dalam persaingan politik ini seiring dengan pendekatan politik matang dan sejahtera.

“Apa yang perlu difahami ialah politik itu sendiri tujuannya untuk menyelesaikan masalah, bukannya mencari masalah,”ujarnya.

Beliau mengulangi pendirian untuk meneruskan dan menambah baik program-program bermanfaat untuk rakyat yang telah diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional kepada rakyat sebelum ini.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, beliau sedia memberi sumbangan tenaga atau idea kepada kepimpinan negeri yang baharu.

“Bagi pihak saya, tak ada masalah, insya-Allah kita akan saling bekerjasama, pilihan raya umum pun sudah berlalu. Sekarang ini masa untuk sama-sama berganding bahu untuk memperjuangkan yang terbaik untuk rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here