Kaji semula projek terbengkalai – MB

0
201
Ahmad Samsuri berkata sesuatu kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Raya 2018 anjuran Muaz Force Sdn Bhd di pasar raya Mydin Mall, Gong Badak, hari ini. Foto Oleh: Harish Fadzillah Abu Kasim


Kerajaan negeri akan mengkaji semula projek-projek mega di seluruh Terengganu yang terbengkalai termasuk Taman Ilmu di Tembila, Besut.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, komitmen kerajaan negeri kini adalah membangunkan dan menjayakan semula semua projek yang gagal.

“Langkah pertama yang saya buat ialah minggu depan saya akan berkunjung ke Taman Ilmu bersama dengan pihak-pihak yang berkenaan untuk melihat kedudukan terakhir dan mencari jalan selepas itu bagaimana untuk kita membuat sesuatu supaya ianya memberi manfaat.

“Sebab yang paling penting kepada kita adalah bukan sekadar untuk menyelamatkan projek-projek yang diiktirafkan sebagai gagal, atau yang menimbulkan masalah tetapi untuk menjadikan projek-projek yang sedemikian itu bermanfaat kepada rakyat terutama kepada masyarakat sekitar tanpa memberi bebanan kepada pihak kerajaan negeri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita bagi mengulas mengenai perkembangan Taman Ilmu selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Raya 2018 anjuran Muaz Force Sdn Bhd di Pasar Raya Mydin Mall, Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali at-Takiri, Pengerusi Eksekutif Muaz Force Sdn Bhd, Dato’ Seri Zakaria Abdul Razak dan Pengarah Urusan Muaz Force Sdn Bhd, Mohd Azrul Zakaria.

Menurut Ahmad Samsuri, selain Taman Ilmu, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada projek-projek mega lain yang terbengkalai semasa pemerintahan kerajaan terdahulu.

“Kita juga akan mengadakan lawatan terhadap senarai projek belum siap, tidak dapat disiapkan atau timbul masalah. Kita akan lihat kesemuanya satu persatu dan cuba mencari jalan penyelesaian tanpa membebankan kerajaan negeri dan memberi keuntungan serta limpahan ekonomi kepada rakyat.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan sebarang cadangan dan pandangan daripada sesiapa sahaja termasuk dari rakyat sendiri berkaitan ‘projek-projek sakit’ yang dilaksanakan oleh pentadbiran yang lepas.

“Sekiranya rakyat memberi cadangan yang kita rasakan boleh dilaksanakan untuk menukar ganti daripada keadaan yang gagal ini kepada yang lebih baik kita boleh bincang dan terima pandangan kerana kerajaan ini adalah kerajaan bersama dengan rakyat,” katanya. -teganukita.net

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here